19 September 2013

( Bil 2) Benda Baru

Beginilah keadaan ketika pening.
Mataku terpejam rapat menahan kepeningan yang teramat sangat. Banyak perkara baharu yang aku terima dan otakku masih lagi cuba menghadam maklumat. Perkara yang masih menjadi tanda tanya ialah gelaran apa yang aku harus berikan kepada pensyarah. Kalau di sekolah aku panggil cikgu, tapi kalau disini nak panggil apa? Pernah aku memanggil pensyarah yang mengajarku dengan panggilan "pakcik" dan hasilnya aku dimarahinya. Bukan kurang ajar tapi memang aku kurang belajar tentang perkara remeh sebegitu. 

Aku mula mengatur strategi untuk meneruskan hidup. Bermula dengan mengatur jadual pagi agar tidak ketinggalan bas ke kampus, perancangan kontenjensi jika tertinggal bas dan bermacam lagi dalam perancanganku. Kadang-kadang terbit rasa cemburu di dalam hatiku melihat rakan-rakanku menaiki motorsikal ke kampus. Hendak menumpang malu sebab tak dipelawa, jadi hanya bas pilihan utamaku kini. Jika terlepas bas, terpaksalah aku mengikat perut untuk memberi laluan kepada tambang teksi yang memang dah tentu mahal. 

Di dalam kelas aku terkesima dengan pelbagai fesyen yang diperagakan oleh pelajar. Dari yang tertutup semua hinggalah yang hampir terbuka semua. Macam mana aku nak fokus belajar jika perhatianku ke arah yang lain. Jadi untuk mengatasi masalah ini aku terpaksa memilih tempat duduk yang paling depan semata-mata tidak ingin membuat dosa dari pandangan. Aku rasa janggal kerana aku lebih selesa duduk di barisan paling belakang. Tiba-tiba terasa rindu pula dengan pakaian seragam sekolah, semuanya sama, baju putih dan seluar hijau atau kain biru. Tiada perbezaan fesyen yang memeningkan otakku.

Pada pandanganku kerja pensyarah cukup mudah, hanya beri tugasan, berikan nama buku rujukan di perpustakaan dan minta pelajar siapkan sebelum tarikh akhir penghantaran. Tidak seperti di sekolah semuanya disediakan. Jika di kampus, jangan haraplah untuk disuap, semua perlu inisiatif sendiri untuk mendapatkan ilmu. Pandai-pandailah membawa diri.

Dalam aku kepeningan, tiba-tiba Bon menegurku. "Adam kau nampak tak awek cun tu? Namanya Mona, aku cop dia dulu tau, kau jangan mengorat dia pulak". Aku terkesima, kenapa nak beritahu aku semua benda mengarut ni, kau nak cop, cop jelah. Aku hanya tersenyum sambil mengangguk, mengiakan kata-kata Bon. Mungkin ini yang dinamakan cinta kampus. Ah! bukan masanya sekarang, aku ada dendam yang mesti aku lunaskan dahulu, bukan nak bercintan cintun buat masa ini. 

Tepat jam 5 petang aku berlari menuju kearah bas yang disediakan. Aku harus cepat ke sana, jika tidak sudah pasti aku tidak mendapat tempat duduk. Sesampai aku di stesen bas, ku lihat sudah ramai yang berbaris menunggu giliran menaiki bas. Aku ingatkan aku yang paling awal, rupanya ramai lagi yang lebih awal dari aku. "Mereka ni habis kelas pukul berapa?" Gumamku di dalam hati. 

Di dalam bas aku memikirkan cara untuk mengatasi masalah perjalananku ke kampus. Apa yang boleh aku usahakan untuk memiliki kenderaan sendiri. Aku mesti melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini. Satu lagi matlamat telah aku masukkan kedalam diari matlamatku....  


No comments:

Post a Comment