19 September 2013

( Bil 2) Benda Baru

Beginilah keadaan ketika pening.
Mataku terpejam rapat menahan kepeningan yang teramat sangat. Banyak perkara baharu yang aku terima dan otakku masih lagi cuba menghadam maklumat. Perkara yang masih menjadi tanda tanya ialah gelaran apa yang aku harus berikan kepada pensyarah. Kalau di sekolah aku panggil cikgu, tapi kalau disini nak panggil apa? Pernah aku memanggil pensyarah yang mengajarku dengan panggilan "pakcik" dan hasilnya aku dimarahinya. Bukan kurang ajar tapi memang aku kurang belajar tentang perkara remeh sebegitu. 

Aku mula mengatur strategi untuk meneruskan hidup. Bermula dengan mengatur jadual pagi agar tidak ketinggalan bas ke kampus, perancangan kontenjensi jika tertinggal bas dan bermacam lagi dalam perancanganku. Kadang-kadang terbit rasa cemburu di dalam hatiku melihat rakan-rakanku menaiki motorsikal ke kampus. Hendak menumpang malu sebab tak dipelawa, jadi hanya bas pilihan utamaku kini. Jika terlepas bas, terpaksalah aku mengikat perut untuk memberi laluan kepada tambang teksi yang memang dah tentu mahal. 

Di dalam kelas aku terkesima dengan pelbagai fesyen yang diperagakan oleh pelajar. Dari yang tertutup semua hinggalah yang hampir terbuka semua. Macam mana aku nak fokus belajar jika perhatianku ke arah yang lain. Jadi untuk mengatasi masalah ini aku terpaksa memilih tempat duduk yang paling depan semata-mata tidak ingin membuat dosa dari pandangan. Aku rasa janggal kerana aku lebih selesa duduk di barisan paling belakang. Tiba-tiba terasa rindu pula dengan pakaian seragam sekolah, semuanya sama, baju putih dan seluar hijau atau kain biru. Tiada perbezaan fesyen yang memeningkan otakku.

Pada pandanganku kerja pensyarah cukup mudah, hanya beri tugasan, berikan nama buku rujukan di perpustakaan dan minta pelajar siapkan sebelum tarikh akhir penghantaran. Tidak seperti di sekolah semuanya disediakan. Jika di kampus, jangan haraplah untuk disuap, semua perlu inisiatif sendiri untuk mendapatkan ilmu. Pandai-pandailah membawa diri.

Dalam aku kepeningan, tiba-tiba Bon menegurku. "Adam kau nampak tak awek cun tu? Namanya Mona, aku cop dia dulu tau, kau jangan mengorat dia pulak". Aku terkesima, kenapa nak beritahu aku semua benda mengarut ni, kau nak cop, cop jelah. Aku hanya tersenyum sambil mengangguk, mengiakan kata-kata Bon. Mungkin ini yang dinamakan cinta kampus. Ah! bukan masanya sekarang, aku ada dendam yang mesti aku lunaskan dahulu, bukan nak bercintan cintun buat masa ini. 

Tepat jam 5 petang aku berlari menuju kearah bas yang disediakan. Aku harus cepat ke sana, jika tidak sudah pasti aku tidak mendapat tempat duduk. Sesampai aku di stesen bas, ku lihat sudah ramai yang berbaris menunggu giliran menaiki bas. Aku ingatkan aku yang paling awal, rupanya ramai lagi yang lebih awal dari aku. "Mereka ni habis kelas pukul berapa?" Gumamku di dalam hati. 

Di dalam bas aku memikirkan cara untuk mengatasi masalah perjalananku ke kampus. Apa yang boleh aku usahakan untuk memiliki kenderaan sendiri. Aku mesti melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini. Satu lagi matlamat telah aku masukkan kedalam diari matlamatku....  


18 September 2013

(Bil 1) CERITA BERMULA "Aku menapak di Semarak"

SEKADAR GAMBAR HIASAN

Berpeluh aku mengemas. Jam dah pukul 1.00 pagi. Belum pernah aku bersemangat macam ni, semangat baru untuk satu permulaan. "Sempat ke nak siap mengemas ni" omelku di dalam hati. Penat kenduri malam tadi pun masih belum hilang. Aku sudah tak peduli, biar ku tak tidur malam ni asalkan pagi nanti aku tak kelam kabut. Hidup baru, azam baru dan misi baru dalam hidupku baru bermula.

Tepat jam 8.00 pagi aku dah tercanak di depan dewan pendaftaran. Ditemani abang, aku meneroka kawasan yang bakal aku huni untuk satu tempoh masa yang agak panjang. Ku lihat ramai bakal rakan seperjuangan ku dengan gelagat mereka yang tersendiri. Ada yang menangis, ketawa, murung dan pelbagai lagi reaksi dapat aku saksikan. Namun ada satu kejadian yang menarik minatku. Ku lihat seorang pemuda dangan bag penuh di badan sedang berusaha mengimbangi badannya dia atas motorsikal. "Ini betul-betul kental, moga kau berjaya  bro". Gumamku di dalam hati.

Selesai sesi pendaftaran aku diminta untuk pergi ke suatu tempat untuk urusan pinjaman. Maklumlah, aku bukannya anak orang kaya yang boleh dapat sponsor dari ibu bapaku. Untuk terus hidup disini, kenalah buat pinjaman. Inilah pertama kali dalam hidup aku membuat pinjaman yang nilainya tak pernah aku bayangkan. Selalu kalau pinjam pun dari kawan , tu pun setakat seringgit dua. Ini dah main ribu-ribu aku pinjam, adoi tertekan sekejap.

Setelah selesai segala urusan pinjam - meminjam, aku diberikan alamat bilikku. Aku bergerak ke bilik dengan penuh lelah. Sampai di bilik, aku lihat ada 8 katil double decker, meja belajar dan almari menyimpan baju. Tanpa berlengah aku terus memilih katil bawah yang paling hujung di sebelah dinding. Memang ekslusif dan terbaik katil pilihan ku ini. Selang 5 minit, seorang demi seorang rakan bilikku masuk dan memilih katil dan tempat masing-masing. Katil di atasku adalah milik seorang lelaki yang bernama Bon. Aku tahu namanya pun sebab dia bagitau semasa memperkenalkan diri padaku. Sebagai warganegara Malaysia yang peramah dan berhemah, aku juga memperkenalkan diriku sebagai Adam. "Dah ada member untuk first day". Gumam aku sendiri di dalam hati.

Macam biasa hari pertama adalah sesi suai kenal bersama ahli jawatankuasa asrama. Aku tengok brader senior ni dah macam gengstar pun ada. Habis di warningnya aku dan budak-budak freshie sebab lambat beratur. Aku ingat dah masuk U ni bebas dah, rupanya macam sekolah asrama jugak. Jangan disuruh aku panggil diorang abang dah ler, ni bukan zaman sekolah nak berabang bagai. Malam hari pertama aku lalui dengan rasa penat yang teramat sangat.

Suasana beransur sunyi apabila malam semakin larut. Aku dah bersiap sedia melayari mimpi yang aku dah setting awal-awal lagi (Kalo dapat mimpi tulah). Ada rakan rumahku dah mula study yang aku tak faham apa yang dia study sebenarnya. Mungkin membuat soalan ramalan SPM matematik tambahan tahun-tahun lepas agaknya. Biarlah dia dengan dunianya. Mata semakin kabur, badan semakin lesu, akal semakin hilang kewarasan dan satu yang ku tahu tidur kena cukup 6 jam. "Jumpa esok U ku". Dalam paras kewarasan yang semakin cetek sempat aku bermonolog sendiri. Zzzzzzzz